Selasa, 11 Ogos 2009






Maknanya: Tahukah engkau akan orang yang mendustakan ugama (meliputi hari pembalasan)? Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin. (Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang -(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya), Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).

kefahaman tentang anak yatim

post about: Anak yatim

Anak-anak yatim ialah anak-anak yang kematian ayah atau ibu atau kedua-keduanya sekali. Selain daripada kehilangan tempat untuk mengadu dan bermanja dengan kasih sayang, mereka juga kehilangan tempat untuk bergantung dalam meneruskan hidup, kerana tanggungjawab ibu bapa itu adalah memberi nafkah yang cukup kepada anak-anaknya. Oleh itu golongan anak yatim, sebagai sebahagian daripada masyarakat, perlu diberi perhatian agar mereka dapat merasa kasih sayang dan diberi peluang yang sama seperti mana individu yang lain.



Menghulur bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik dan dalam kesusahan merupakan amalan mulia dan menjadi tuntutan agama. Bantuan dalam pelbagai bentuk seperti kewangan, kebendaan, tenaga dan buah fikiran, ditambah dengan keikhlasan sudah setentunya mendatangkan manfaat kepada yang menerimanya, bahkan akan mendapat ganjaran daripada Tuhan Yang Maha Esa.


Langkah-Langkah Yang Patut Diambil Untuk Membantu Anak Yatim

Langkah terbaik yang dapat diambil ialah dengan mengadakan kutipan derma atau sedekah yang dikhususkan kepada anak-anak yatim. Bantuan ini dapat dilaksanakan tak kira sama ada melalui pihak-pihak yang berkuasa, sekolah-sekolah, badan-badan kebajikan di peringkat masyarakat, kampung dan mukim, institusi kewangan, sektor swasta dan orang-orang perseorangan. Bantuan seumpama ini sudah setentunya akan dilihat sebagai tanggungjawab dan keprihatinan pihak yang terlibat akan kepentingan persekolahan anak-anak yatim. Dan semuanya dilakukan bagi memastikan mereka tidak tersisih dari alam persekolahan dan mampu mendapat ilmu pengetahuan secukupnya.


Pihak Sekolah

Membantu dengan menyediakan dana khas bagi anak-anak yatim yang belajar di sekolah-sekolah berkenaan. Bantuan juga boleh dilaratkan dalam bentuk peralatan-peralatan sekolah di samping nasihat dan galakan untuk mereka dapat berdikari. Sebagai sebahagian anggota masyarakat, mereka juga perlu didedahkan dengan peranan dan tanggungjawab kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara.

Peringkat Masyarakat



Ia dapat dilaksanakan secara lebih meluas iaitu dengan melibatkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan sukarela, sektor swasta dan persendirian. Bantuan-bantuan dapat dikumpulkan bagi satu-satu tempoh yang diperlukan atau dilakukan secara berperingkat-peringkat dan bermusim atau mengikut kemampuan masing-masing. Untuk memastikan bantuan penderma terus diterima, tabung khusus anak-anak yatim perlu diletakkan di tempat-tempat tertentu seperti masjid, gedung perniagaan dan tempat awam.


Pihak Institusi-Institusi Kewangan

Bertindak sebagai penyelaras bagi memproses bantuan-bantuan atau tajaan persekolahan anak-anak yatim secara lebih kemas dan teratur. Bantuan yang bukan dalam bentuk kewangan seperti peralatan-peralatan persekolahan dan harta benda atau barang-barang terpakai yang bersesuaian boleh disalurkan kepada pihak-pihak berkenaan atau terus kepada anak-anak yatim atau penjaga mereka.


Mengadakan Aktiviti-Aktiviti Berupa Jualan Amal

Dikhususkan bagi membantu anak-anak yatim juga boleh menarik perhatian penderma-penderma yang ingin berbuat amal kebajikan secara tidak langsung. Bantuan yang khusus seperti motivasi, pendorong semangat untuk mereka terus belajar dan berjaya di dalam pelajaran, di samping kasih sayang, simpati dan pemedulian, perlu juga menjadi agenda masyarakat dalam usaha membantu kesejahteraan anak-anak yatim.



Kesempurnaan anak-anak yatim sememangnya menjadi perkara penting yang perlu diambil perhatian. Usaha selanjutnya juga perlu dilaksanakan seperti membekalkan mereka dengan semangat berdikari, berdaya maju serta turut menyumbang kepada kemajuan agama, masyarakat, bangsa dan negara, selain memimpin mereka ke jalan yang lurus serta diredai Allah.



Kesedaran dan keprihatinan pihak masyarakat dalam hal ini juga amat membanggakan. Setiap usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan swasta dalam hal ini telah disokong dengan semangat keharmonian dan kasih sayang antara sesama insan. Malah sesetengah individu juga sanggup untuk mencari sendiri mereka yang benar-benar memerlukan bantuan hanya untuk mendapatkan pahala dan ganjaran daripada Allah. Adalah diharapkan agar usaha-usaha dalam membantu memperbaiki kehidupan anak-anak yatim untuk diteruskan malah dipertingkatkan lagi. Pertolongan sedemikian kepada mereka yang ditimpa musibah dan kesempitan secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara anggota masyarakat dan memadam jurang perbezaan di antara individu yang berkemampuan dengan yang sebaliknya.

Isnin, 23 Februari 2009

sumbangan,jualan wakaf, jualan amal